Aktiviti ini berjaya dilaksanakan pada 27 April 2016, bersamaan hari Rabu. Pada mulanya kami bercadang untuk bermalam di sana, tapi atas beberapa faktor, aktiviti ini akhirnya ditetapkan untuk diadakan sehari penuh sahaja. Kami tempah jurupandu dan jurulatih daripada sebuah syarikat yang berpengkalan di Janda Baik juga. Mereka telah berpengalaman mengadakan perkhemahan dan latihan aktiviti lasak sebegini. Usaha Bakti Farm & Outdoors telah memberikan yang terbaik untuk pelajar-pelajar kami menimba pengalaman 'survivor course' di sana. Terima kasih:)
Kami bertolak dari Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM sekitar jam 8 pagi menaiki van yang ditempah oleh UKM. Perjalanan lancar walaupun sesak sedikit di MRR 2. Itu biasalah kan, pagi hari bekerja. Tidak begitu sukar untuk mencari pejabat Usaha Bakti Farm & Outdoors, betul-betul di tepi jalan. Jurupandu kami mahu dirinya dipanggil Jawa. Jadi, semua orang panggil dia Jawa. Mungkin itulah nickname dia di hutan itu. Jawa sempat berpesan kepada kami supaya menjaga tutur kata dan tingkah laku kerana kawasan hutan ini, bukan tempat manusia tetapi kita menumpang untuk beraktiviti di tempat yang dihuni makhluk yang lain.
Sebenarnya, kami meminta beberapa aktiviti seperti:
1- Trek hutan (jungle trekking)
2- Menjala & memancing ikan
3- Memasak dalam buluh
4- Memasang perangkap
Tapi, atas faktor masa dan juga kesihatan pelajar, aktiviti trek hutan tidak diteruskan sebaliknya kami terus ke lokasi di mana aktiviti-aktiviti lain akan diadakan. Sepanjang perjalanan, kami naik 4x4 milik Jawa.
Sebahagian pelajar dah melompat dulu di belakang pacuan empat roda. Semua teruja termasuklah cikgu-cikgu:)
Pelajar-pelajar yang menyertai aktiviti kali ini semuanya daripada negara Jepun. Generasi muda Jepun mengamalkan cara hidup yang sangat moden, dan teknologi di Jepun juga terkenal sangat canggih. Oleh itu, berkhemah dan melakukan aktiviti-aktiviti tanpa bantuan mesin dan teknologi ini sangat asing dan perkara baru bagi mereka.
Eiko, Kohei adik, Kaoru dan Kohei abang
Masa mula-mula sampai..mereka buat aksi 'sweet' . haha.
Seterusnya, kami diminta mencari kayu api atau bahan bakar untuk aktiviti masak-memasak sebentar lagi. Apa yang paling penting apabila berada di dalam hutan ialah api dan air. Air, dah ada air sungai Janda Baik yang sangat jernih dan bersih. Jadi, langkah pertama ialah menghidupkan api.
Anak Cikgu Mai yang turut serta
Kayu api dikumpulkan
Sepatutnya pelajar-pelajar kena hidupkan api sendiri, tapi...risau pula kami kelaparan sampai ke petang:)
Aktiviti kedua ialah mencuci ayam dan menyiang ikan. Disebabkan tak mahu kelaparan, jadi cikgu-cikgu sudah sediakan bahan mentah seperti ikan dan ayam. Bukan apa, tak tahu lagi menjala dan memancing nanti ada hasil atau tidak. Jadi, ikan dan ayam kami beli siap-siap semasa dalam perjalanan. Beras pula disediakan oleh pihak Usaha Bakti.
Jika remaja dan generasi muda di Malaysia juga sudah ramai yang tidak pernah menyiang ikan dan memotong ayam...tidak hairanlah generasi muda Jepun tidak pernah langsung melihat ikan dan ayam yang belum dipotong. Semuanya dibeli siap, tinggal masak sahaja. Jadi, mencuci ayam dan menyiang ikan di sungai membuatkan mereka sangat teruja!
Seterusnya...buluh dibersihkan untuk digunakan sebagai alat memasak nasi dan lauk. Cawan kami juga daripada buluh. Bagaimana cara membersihkan buluh daripada segala kekotoran dan biangnya?
Mula-mula buluh direndam dahulu
Masukkan pasir ke dalam buluh, tutup.
Kemudian, goncang
Seterusnya pelajar-pelajar diminta membasuh beras dan masukkan beras ke dalam buluh untuk dimasak. Memang lucu waktu ni kerana walaupun ramai, tapi berasnya tak mahu masuk ke dalam buluh. hahaha.
kecoh:)
Sementara menunggu nasi dan lauk masak, kami belajar menjala dan memancing. Memancing cara tradisional, tidak menggunakan joran. Umpan pun cari sendiri cacing tanah. Ikan-ikan kecil yang sedang dibakar dalam gambar di atas ialah hasil jalaan kami:)
Kohei adik tayang hasil pancingannya, ikan yang sangat comel:)
Selesai menjala dan memancing...siang pulak ikan-ikan sungai yang kecil tu dan bakar..semua pun dah kelaparan. Waktu tu dah lebih jam 2 petang. Sebaik sahaja hidangan bufet stail hutan terhidang..masing-masing capai pinggan..senduk nasi dan lauk.
Ikan kerisi masak taucu bunga kantan hutan..sangat sedap.
Cantikkan, cara makanan kami dihidangkan. Disediakan oleh yang pakar.
Nasi buluh. Minta maaf kerana dah lupa cara sukat airnya...
Kaoru Nakajima @ Suraya yang sangat aktif dalam setiap aktiviti..dan kami beri dia bonus untuk ambil makanan paling awal.
Ikan kembung panggang, sup ayam buluh, ikan kerisi taucu kantan.
Sangat menyelerakan!
Kami juga minum air kopi O panas kurang gula...fuhhh...
Kata orang tua-tua, "gendang gendut tali kecapi, kenyang perut suka hati". Jadi setelah masing-masing pun dah makan, inilah masanya kita mandi-manda. Bagi orang Malaysia, mandi sungai mungkin perkara yang tidak asing lagi. Namun bagi pelajar-pelajar ini, mereka tidak pernah mandi di sungai begini. Tambahan pula air sungai Janda Baik ini sangatlah sejuk. Mula-mula mereka keberatan, tapi inilah masanya menimba pengalamankan?
Sebelum balik, satu lagi aktiviti untuk pelajar iaitu membuat perangkap. Perangkap yang dimaksudkan ialah...
bubu
Kohei Fujita yang gembira tayang bubu yang berjaya disiapkan.
(Namun ini hanyalah latihan untuk mereka...bubu sebenar tentunya lebih kemas buatannya. Bak kata pemandu kami apabila lihat bubu ini yang kami bawa balik "eh, ini ikan boleh keluar masuk ni". hahaha.)
Kami bertolak pulang sekitar jam 5.00 petang, singgah di hentian rehat dan rawat untuk membersihkan diri, solat (bagi yang beragama Islam) dan makan malam. Kami selamat sampai di ATMA, UKM sekitar jam 8.00 malam. Masing-masing keletihan, tetapi Kohei Fujita terus ke DECTAR untuk sesi latihan orkestra tradisional China yang disertainya. Bagus, Kohei!
Kesimpulannya, pelajar-pelajar dapat menimba pengalaman berharga berinteraksi dengan alam semulajadi, dan mengetahui asas-asas kemahiran kendiri. Di samping itu para pelajar juga dapat berkomunikasi dengan jurulatih kursus dan bergembira. Kampung Janda Baik, nanti KIKBM datang lagi ya!
#jandabaik
#kikbmatma
#malaylanguagecourseforforeigners
#japanesestudents
No comments:
Post a Comment